Menghiasi Ramadan Dengan Kemeriahan Ibadah
Apabila Ramadan tiba ramai yang ‘excited’. Masing-masing teruja nak tingkatkan amalan, nak banyakkan sedekah. Sudah mula ‘target’ nak khatamkan bacaan satu Al-Quran dalam sebulan. Satu hari perlu dibaca satu juz. Kalau dapat dibaca lebih dari satu juz lagi bagus. Manalah tau kan ada hari yang uzur atau terlampau sibuk, dapat jugak ‘cover’ dan kekal ‘on track’.
Di sebelah malam pula ramai yang berpusu-pusu menuju ke masjid yang berdekatan atau masjid ‘favourite’ masing-masing untuk menunaikan solat Tarawih. Mungkin ada juga di kalangan Muslimah yang sanggup ke Joo Chiat Complex untuk mencari telekung baru.
Alhamdulillah ini satu fenomena yang baik yang kita lihat dalam masyarakat Islam kita khususnya di Singapura. Ketibaan tetamu istimewa atau “VIP” yang hadir setahun sekali ini disambut dengan penuh kemeriahan.
Kemeriahan yang menjadi cermin kepada fitrah hati dan roh yang ingin menjadi hamba Allah yang taat. “Perbualan” antara Allah swt dan roh setelah dicipta menjadi bukti asal fitrah manusia yang murni. “Bukankah Aku ini Tuhan kamu?” Dijawab oleh roh, “Bahkan kami menjadi saksi!”
“Ala Ustad, diorang ni hangat-hangat t*hi ayam je. Bulan puasa je semangat..”
Perubahan semangat secara mendadak ini mungkin juga berlaku kepada ahli keluarga ataupun kawan-kawan kita. Usaha baik ini hendaklah sama-sama kita berikan sokongan moral, diiring dengan memuji Allah dan mendoakan mereka. Untuk anak-anak kecil boleh kita belanja makan atau minum sebagai galakkan.
Jangan pula kita meremehkan dan memperkecilkan usaha kawan-kawan atau ahli keluarga yang kita lihat bersungguh-sungguh secara tiba-tiba. Tak mustahil kenalan kita yang dahulunya mungkin jauh dari agama, secara tiba-tiba berubah 360 darjah.
Tak kurang kisah para wali dan orang-orang soleh yang dicatat oleh sejarah, yang mana kisah silam mereka penuh dengan kemaksiatan, akhirnya diangkat sebagai para wali dan kekasih-Nya. Kita mengharapkan yang terbaik buat semua umat Nabi Muhammad saw agar dikurniakan taufiq dan hidayah.
Bukankah setiap kali selepas solat kita mendoakan, “Rabbana atina fiddunya hasanah, wa fil akhirati hasanah, wa qina adzabannar”?
Guru saya, Syeikh Yusri Rusyi Al-Hasani pernah berpesan, kalau kita ingin mencari dan melihat seorang wali, maka hendaklah kita merasakan diri kita adalah yang paling jahat dan berdosa di kalangan manusia. Nanti kita akan “nampak” (dengan izin Allah). Mungkin hamba Allah yang solat sebelah kita selama ini adalah wali. Mungkin juga penjual sayur yang berpakaian kotor kat gerai Pasar Geylang tu sebenarnya wali.
Tak boleh cakap.
Kita dididik oleh guru-guru kita untuk sentiasa mengekalkan rasa kehambaan di mana sahaja kita berada; rasa lemah, rasa hina, rasa diri jahil (di hadapan Allah). Taubat dan istighfar seorang hamba yang berdosa lebih baik daripada tasbih para malaikat.
Semoga Ramadan kali ini disambut dengan ‘happening’ jiwa dan rohani serta ibadah yang memproses diri kita menjadi mukmin yang merasakan kelazatan setiap kali menghadap Allah taala.